semesta

bling2

Rabu, Oktober 27, 2010

FAMILY DAY 2010








Salam. Bertemu lagi dalam catatan cikgu Bedah ni. Maaflah semenjak dua menjak ni saya agak kurang produktif dari segi mengemaskini blog ini. Maaflah kepada semua pengujung...banyak benar dugaan yan dilalui sejak akhir -akhir ini. Buntu idea dan fikiran untuk menulis cerita... tetapi saya cuba jua mencari masa agar blog ini terus hidup untuk jadi tatapan kepada yang merinduinya...Kisah kemanisan Hari keluarga 2010 di DESARU BEACH RESORT boleh dikatakan mencapai kejayaan kerana dapat mengumpulkan hampir lebih 40 keluarga. Inilah yang kita harapkan ,suatu kesepakatan dan keakraban dalam membina silaturahim di SMKSA. Satu keistimewaan yang ada disini adalah rasa kekitaan yang menjadi tulang belakang dalam membentuk hubungan yang lebih baik agar suasana kerja kita lebih bersemangat, selesa dan seronok. Bila gembira pelajar kitapun dapat impaknya.Apapun Hari Keluarga tahun ini sangat berjaya kerana dalam sejarah SMKSA , penyertaan tahun ini lebih ramai berbanding tahun-tahun yang lalu, paling menggembirakan penyertaan dari staff dan kakitangan sokongan. Inilah keluarga besar SMKSA..detik ini ingin kita kongsikan bersama. Moga hubungan baik yang terjalin selama ini akan berkekalan..selamanya..amin..

Khamis, Oktober 14, 2010

CERITA PMR 2010

Salam untuk semua. Penilaian Menegah Rendah sudahpun berlalu. Merdeka sudah pelajar PMR 2010. Setelah jenuh berhempas pulas, terutama cikgu-cikgunya ....usaha pelajar bagaimana agaknya ya...Namun kita tetap berharap ada sinar kejayaan yang mewarnai keputusannya kelak. Untuk pelajar yang kukasihi sekelian..bila habis peperiksaan ini bukan tandanya kita harus menyambutnya dengan pesta-pesta yang melalaikan kita. Seolah-olah kita sudah di puncak jaya. Maka keluarlah segala taring dan kuku yang disorokkan hanya dalam tempoh berpantang katanya...Bukan begitu caranya sayang untuk luahkan rasa merdeka itu. Banyak lagi cara yang betul, yang sopan, yang berhemah untuk luahkan rasa bersyukur atas segala keperitan yang kita lalui sepanjang menghadapi PMR. Jangan ada selepas ini timbul kisah-kisah negatif sosial pelajar kita...Ya Allah lindungi mereka ,anak didikku yang dikasihi.

Semuga kita lebih muhasabah diri atas segala kelemahan yang kita lakukan selama ini. Pasca PMR merupakan ruang yang baik untuk timba pengalaman melalui aktiviti yang dirancang. Gunakan peluang sebanyak mungkin untuk menimba ilmu sebagaim persediaan menjadi lebih matang bila ke tingkatan 4 nanti.

Selasa, Oktober 12, 2010

NOSTALGIA AIDIL FITRI

Aidil Fitri sudah berlalu. Kali ini cukup bermakna buat warga SMKSA. Setelah sekian lama amalan marhaban dihidupkan semula. Agenda ini disokong kuat oleh pihak pentadbir terutama tuan pengetua kita Tn Hj Jumali b Ahmad. Beliau nampaknya sungguh bersemangat untuk turut serta. Jadual telah diatur ikut kelapangan. Melalui program seumpama ini kita boleh merapatkan hubungan warga SMKSA kerana dapat berkenalan dengan ahli keluarga masing-masing.Kumpulan marhaban kali ini diketuai oleh orang kuat BKGK , En. Hamzah Hj Din. Rumah pertama dikunjungi oleh warga SMKSA adalah rumah Pn. Nooraini Abd Karim di Sungai Sayong. Tn. Hj Jumali juga turut sama mengadakan sambutan marhaban untuk warga SMKSA di Batu Pahat. Kami semua amat berbesar hati kerana tuan pengetua sudi meraikan keluarga besar SMKSA. Kami juga dibekalkan dengan ole-ole oleh isteri tuan pengetua sebagai bekalan pulang. Majlis penutup marhaban pula diadakan pada 29 Shawal di rumah Tn. Hj Norhaimi Abdullah dan juga rumah Pn. Hjh Salmiah bt Zaidon. Harapan kita semua agar ramai lagi warga SMKSA terutama golongan muda akan turut serta dalam acara-acara sebegini di masa-masa akan datang.

Khamis, Oktober 07, 2010

SMKSA DAN MERDEKA


31 Ogos bertandang setiap tahun. Maka setiap kali itulah kita menyambutnya dengan penuh meriah. Begitu juga senario bulan kemerdekaan di SMK. Sultan Alauddin. Setiap tahun ada saja acara sambutan dijalankan. Aktiviti dipenuhi dengan pelbagai pertandingan seperti peraduan mengarang sempena bulan kemerdekaan, kuiz, pertandingan deklamasi sajak berunsur patriotik dan lagu-lagu koir. Kelas-kelas juga tidak lupa dihias indah dengan bendera-bendera negeri dan jalur gemilang. Di kampung-kampung kelihatan anak-anak kecil mengusung bendera ke sana kemari dengan diikat pada basikal dan motor. Namun bila direnung kembali apakah pengisian kemerdekaan sebenar di jiwa anak-anak ini? Lebih-lebih lagi golongan remaja yang yang hanya tau melaungkan "merdeka"...merdekakah minda mereka dari gejala sosial yang semakin meningkat peratusannya? Berapa ramai pelajar kita dijajah dengan sikap malas belajar...malas membaca...malas masuk kelas. Merdekakah mereka ini sebenarnya? Dan paling sedih jika anak-anak gadis dengan rela memerdekakan kegadisan mereka sewenang-wenangnya tanpa rasa bersalah dan takut akan dosa-dosa besar. Nauzubillah... inilah harga yang perlu kita bayar pada sebuah kemerdekaan...sebuah kemodenan yang kita kecapi. Apa yang penting , sebagai seorang guru dan pendidik kita perlu membantu mengisi jiwa anak-anak ini dengan jati diri bangsa mereka agar iman dan prinsip tidak mudah dijual beli dengan impak kemerdekaan ini.

Pada pelajar-pelajar diluar sana... jadikan bulan kemerdekaan sebagai bulan memuhasabah diri apatah lagi kali ini jatuh pada bulan Ramadhan , melihat sejarah perjuangan dengan rasa bersyukur kerana lahir di bumi ini , hidup aman bahagia di tanah ini dan memantapkan rasa kecintaan pada bumi yang dipijak langit yang dijunjung. Penghargaan dan rasa terima kasih adalah dengan memberikan terbaik untuk diri, ibu bapa, sekolah ,agama dan bangsa sendiri agar terus MERDEKA dan MAKMUR di sini.

Rabu, Oktober 06, 2010

MAJLIS BERBUKA PUASA



Salam untuk semua pembaca. Setiap tahun SMK Sultan Aluddin tidak lupa mengadakan majlis berbuka puasa dan meraikan anak-anak yatim. Tahun ini Panitia Pendidikan Islam dengan kerjasama Badan Kebajikan Guru dan kakitangan sekolah telah menganjurkan Majlis Berbuka dan Solat Tarawikh. pada 26 Ogos 2010. Seramai 200 pelajar miskin dan yatim dijamu dengan nasi menu nasi putih berlauk kari ayam, sambal belacan tumbuk (original recipe), ikan kering ,sayur goreng kacang panjang dan buah-buahan. Apa yang menarik , warga SMKSA turut serta acara rewang memasak pada petang itu. Acara sebegini dapat mengeratkan lagi silaturahim antara semua pihak . Majlis Berbuka Puasa dimulakan dengan bacaan yasin, berbuka puasa, solat maghrib , solat isyak dan diakhiri dengan solat tarawikh beramai-ramai. Tuan Pengetua dan Yang Dipertua PIBG , En Sidek b Sarman turut hadir memeriahkan majlis kita.

NET BOOK PERCUMA 1 MALAYSIA


Assalamualaikum W.B.H..salam 1 Malaysia. Agak lama juga kita tidak bersua di alam siber ini. Maklumlah cikgu Bedah sibuk dengan persiapan menjelang PMR, menjelang syawal dan macam macam lagi. Hari ini cikgu Bedah nak cerita sikit pasal Net Book 1 Malaysia yang telah diberikan kepada hampir 500 pelajar di SMK. Sultan Alauddin pada 16 ogos yang lalu. Ramai yang berpeluang menerimanya secara percuma... ada yang terpinga-pinga tiba-tiba dimaklumkan bahawa mereka adalah penerima komputer riba. Pening juga kepala cikgu-cikgu yang menguruskannya. Pelajar hanya perlu melengkapkan borang , menyediakan dokumen-dokumen seperti salinan kad pengenalan, penyata gaji , salinan bil-bil telefon, letrik atau astro. Macam-macam kisah yang timbul. Ada yang tertinggal borang, mak ayah tak dapat datang, borang tak lengkap. Ada juga yang tidak puas hati kerana tidak dapat komputer. Ada yang dah berhenti sekolah pun namanya turut tersenarai. Pemilihan penerima dibuat oleh pihak Pejabat Pelajaran daerah Kulaijaya.

Pelajar-pelajar nampaknya bersemangat apabila menerima netbook ini. Harapan cikgu Bedah mereka dapat menggunakannya untuk menambah ilmu pengetahuan, buat kerja kursus atau tugasan yang diberi oleh guru.Tapi yang sedihnya, awal-awal dah berniat nak masukkan game dalam komputer ini. Itu belum lagi yang berhasrat nak lawat laman-laman biru...atau menggunakannya untuk mengutuk atau memaki-maki di laman Facebook. Ini tidak betul. Oleh itu sekali lagi kami pihak sekolah merayu agar semua yang bertuah menerima netbook ini dapat menggunakannya untuk tujuan yang lebih baik dan berfaedah...insyaallah

Sabtu, Ogos 14, 2010

Jasni - Jangan Berlagak Sombong

Lagu ini sekadar hiburan..Hayati senikatanya sebagai panduan hidup kita. walaupun klasik dan tidak glamor...lagu ini ada nilai tersendiri..semuga terhibur

Rabu, Ogos 11, 2010

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN


Buat warga SMKSA dan pengunjung blog ini, selamat menyambut bulan Ramadhan.Moga kehadiran Ramadahan kali ini membawa 1000 makna dalam mempertingkatkan iman kita dalam mencari keredhaan Nya... amin

Sabtu, Ogos 07, 2010

EXPEDISI TANJUNG PIAI







Pada 4 ogos yang lalu Persatuan Geografi dan Sivik telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Tanjung Piai, Pontian Johor. Ini merupakan bahagian paling hujung benua Asia. Seramai 35 orang pelajar diiringi oleh 4 orang guru telah turut serta dalam lawatan tersebut. Peserta rombongan dapat menimba pengalaman baru dan paling penting setiap peserta menerima sijil sebagai pengunjung yang telah sampai ke bahagiaan paling selatan benua Asia itu. Harapan kita agar pelajar SSA lebih menghargai alam sekitar dan dapat mengaplikasinya ke persekitaran sekolah kita. Sekalung tahniah kepada guru penasihat yang mengajurkannya iaitu cikgu Siti Aishah Johari yang bertungkus lumus memastikan perancangan program lawatan ini berjalan lancar

Khamis, Ogos 05, 2010

PEPRIKSAAN PERCUBAAN PMR 2010

Peperiksaan Percubaan PMR telah diadakan pada 2 ogos - 10 ogos 2010. Nampaknya pelajar dan guru-guru tingkatan melalui fasa 1 yang mendebarkan menjelang peperiksaan sebenar oktober nanti . Tahun ini SMK Sultan Alaudiin mempunyai 202 calon sekolah dan 2 orang calon menumpang. Pelbagai usaha telah dilakukan bagi memastikan kejayaan pelajar-pelajar kita. Keputusan percubaan PMR juga yang akan menjadi kayu pengukur untuk melihat sejauh mana berkesannya usaha yang kita lakukan dan apakah strategi seterusnya dalam menghadapi peperiksaan sebenar.Harapan kita agar bulan-bulan terakhir ini dimanafatkan sebaik mungkin. Kurangkan aktiviti yang tidak berfaedah,rancang masa dengan baik, boleh tubuhkan kumpulan belajar atau " study group". Akhir sekali tawakal setelah usaha dilakukan. Kami akan doakan kejayaan anda sentiasa. Masih belum terlambat untuk mengubah nasib anda.

Isnin, Ogos 02, 2010

LAMBAIAN GUNUNG ARONG, MERSING





Pada 30,31 dan 1 Ogos 2010 satu perkhemahan unit beruniform telah diadakan di Gunung Arong, Mersing anjuran unit Ko kurikulum SMKSA. Seramai 74 pelajar dan 16 orang guru telah turut serta. Apa yang menarik pada perkhmahan kali ini adalah pengalaman mendaki gunug Arong yang tingginya 274 meter dari aras laut. Tahniah kepada mereka yang berjaya sampai ke puncak gunung. Sejam pendakian memang sesuatu yang mencabar dan memenatkan tetapi terubat dengan penorama alam semulajadi yang begitu indah. Peserta perkhemahan kemudian turun kembali ke kawasan pertembungan muara sungai dan laut. Di situ peserta melepaskan lelah dengan mandi manda dan ini merupakan kenangan manis bagi semua yang turut serta.

Selain daripada aktiviti mendaki gunung , peserta berpeluang menjalani aktiviti memasak rimba. Ini merupakan satu pertandingan yang selalu diadakan sewaktu perkhemahan. Malamnya pulak diserikan dengan GEMA RIMBA dimana setiap kumpulan badan beruniform mempamerkan bakat bakat terpendam dalam membuat persembahan.Satu pengalaman yang mencabar dan menyeronokkan apabila dapat tidur berlantaikan tanah dan berbumbungkan langit di tengah hutan..mendengar suara gemersik penghuni rimba membuatkan kita seperti bersatu dengan alam...Paling lucu apabila terpaksa bersesak-sesak menaiki lori dan landrover jabatan hutan.. Ini merupakan memori terindah yang akan disimpan dalam diari hidup peserta perkhemahan.

Apapun sekalung tahniah buat Unit Ko Kurikulum kerana berjaya menjayakan misi ini dengan jaya dan selamat. Walaupun penat tetapi inilah kepuasan yang kita terima hasil penat lelah sekian lam. Tabik buat boss Unit K Kurikulum En. Kamalullail bin Toha dan orang kanannya En Hamzah Hj Din serta semua guru dan kakitangan yang terlibat dalam menjayakan misi ini.

CIKGU RASHID IQBAL



Beliau adalah seorang guru yang mengajar matapelajaran Pendidikan jasmani dan Bahasa Melayu. Seorang guru biasa tetapi sangat komited pada tugas yang diamanahkan terutamanya dalam membantu SMK. Sultan Alauddin cemerlang dalam bidang sukan. Menjadi tulang belakang En. Kamaululail b Toha yang merupakan guru kanan Ko Kurikulum. Setiap kali tiba musim sukan tahunan sekolah , beliaulah antara yang terawal bertugas dari mula membuat trek padang hinggalah mengemas peralatan sukan. Ada ketikanya kulit tidak sempat putih kerana sering berpanas di bawah terik mentari....itulah cikgu Rashid Iqbal yang telahpun berpindah ke Langkawi kerana bertugas di sekolah baru. SMK. Sultan Alauddin sangat merasa kehilangan beliau. Kelab Badan Kebajikan Guru dan Kakitangan telah mengadakan sebuah Majlis Perpisahan buat beliau pada 19 ogos yang lalu, Walaupun berasa sedih tetaoi kami relakan juga. Harapan kami agar cikgu Rashid dapat terus menabur bakti walau di mana beliau berada. Selamat bertugas di tempat baru....Tuai padi antara masak, esok jangan layu-layuan, intai kami antara masak esok jangan rindu-rinduan...

Rabu, Julai 28, 2010

RINDUNYA......

Assalamualaikum W.B.H

Salam Satu Malaysia....lama betul cikgu Bedah menyepi diri...bukan tidak sudi mencatat lagi tetapi rutin kerja menghalang dan kadangkala semangat tidak cukup kuat untuk meneruskan tugasan yang memerlukan idea dan kreativiti ini... Agaknya cikgu Bedah dah tua kot.. selalu rasa penat...tambahan pula menghadapi kerenah pelajar yang agak memeningkan kepala. Mengajar hari ini tak sama dengan dulu-dulu..cabarannya sangat besar terutama cabaran sosial mereka. Sayang ya... bila kita mengajar pelajar Melayu, cikgunya Melayu kadang kadang rasa gagal membentuk mereka menjadi insan yang lebih baik..Harap harap cikgu Bedah tidak patah semangat...begitu juga rakan rakan seperjuangan... Untuk yang telah lama mengajar..perlu teruskan usaha dengan ikhlas, kekalkan prestasi, jangan timbulkan kontravesi. Pada adik-adik yang muda belia, baru setahun dua menggalas tugas guru, pandanglah kerjaya ini dengan penuh tanggungjawab, penuh kecintaan dan semangat. Kemahiran akan datang bersama pengalaman. Cikgu Bedah percaya guru-guru muda ini akan menjadi pelapis kami yang semakin senja..
Ditangan kita ada amanah...menghasilkan generasi muda yang berdaya saing, yang akan membantu membangun negara kita yang tercinta.
Kepada anak-anak murid tercinta. Ini bukan masanya untuk kamu leka dan lalai dalam mengejar ilmu. Bukan juga masanya untuk melayan angan-angan cinta monyet yang kadang kala menghancurkan kita bila diturutkan naluri muda. Jangan dicarik peraturan sekolah yang kita laksanakan bagi memperkasakan pelajar-pelajarnya dengan jati diri semangat Melayu generasi baru yang cemerlang. Kamu akan membangun bangsa suatu hari nanti. Jika kuat jati diri, cemerlang ,maka kuatlah dan majulah bangsa itu. Tidak mudah diperkotak- katikkan oleh orang lain. Itulah harapan kami. Menjadikan kamu semua modal insan yang berjaya.
Catatan ini hanyalah satu wadah...bacalah dengan rasa tanggungjawab.Kejayaan ini memerlukan sokongan kedua belah pihak, pelajar dan gurunya...dan....kita ada kekuatan itu. Renungkanlah.!

Cikgu Bedah

Rabu, Mei 19, 2010

PERTANDINGAN BADMINTON SEMPENA HARI GURU


21 April yang lalu menyaksikan pertandingan Badminton sempena hari Guru 2010. Sungguh bersemangat guru-guru SMKSA yang mengambil bahagian. Juara lelaki disandang oleh Cikgu Kamalullail b Toha , manakala guru perempuan dimenangi oleh Pn. Sofiah bt Salam.

Selasa, Mei 04, 2010

MESYUARAT AGUNG PIBG DAN MAJLIS ANUGERAH KECEMERLANGAN





Pada 17 April yang lalu, telah diadakan mesyuarat Agung PIBG kali ke 37 dan Majlis Anugerah Kecemerlangan untuk pelajar-pelajar SPM 2009, PMR 2009 dan pelajar tingkatan 1, 2 dan 4 2009. Majlis ini telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia En. Sahad b Sudarman , Pengurus Felda Bukit Ramun. Awal pagi lagi ibu bapa telah hadir untuk mendaftar kehadiran mereka ke mesyuarat tersebut. Acara dimulakan dengan bacaan doa oleh En. Muhamad Nashruddin bin Yusof. Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh wakil pengetua ,Tn. Hj. Norhaimi b Abdullah, Guru Penolong Kanan SMKSA .Yang Dipertua PIBG , En. Mohd Sidek bin Sarman juga telah menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut dan diikuti pula oleh ucapan perasmian oleh En Sahad b Sudarman. Majlis diteruskan dengan Anugerah Kecemerlangan bagi mereka yang telah memperolehi kejayaan dalam peperiksaan SPM,PMR dan Peperiksaan Akhir Tahun 2009.
Acara juga diserikan dengan persembahan zapin oleh pelajar-pelajar SMKSA dibawah pimpinan En. Izamuddin b Yusof. Majlis diteruskan dengan mesyuarat agung dan acara kemuncak majlis kali ini adalah acara cabutan nombor bertuah yang memang ditunggu-tunggu oleh ibu bapa dan guru.Majlis bersurai pada jam 1.00 tgh

PERTANDINGAN BOLING SEMPENA HARI GURU

Pada 10 April yang lalu bertempat di IOI MALL Kulaijaya telah diadakan pertandingan Boling antara Guru & kakitangan SMKSA. Hampir 50 orang peserta telah mengmbil bahagian. Masing-masing telah menunjukkan "skill" masing-masing di gelanggang boling. Ada juga ahli keluarga guru dan kakitangan yang turut sama menyertai pertandingan tersebut. Suasanan memang "Happening" sekali kerana berbagai gelagat peserta yang mengmbil bahagian. Ada yang memang mempunyai "skill" yang baik, ada yang bergantung pada nasib dan ada juga yang asyik membersihkan longkang.... Biar apa pu n yang pasti sambutan untuk perayaan hari Guru sudah bermula... dan ini juga merupakan acara tahunan yang wajib dijalankan. Kepada pemenang tahniah diucapkan dan kepada tidak berjaya jangan putus asa... Keputusan Pertandingan akan diumumkan pada hari guru nanti. Tahniah kepada Penganjur... yang telah berjaya menjalankan program ini dengan baik dan lancar sekali. Cuma harapan cikgu Bedah agar di tahun-tahun akan datang seluruh warga SMKSA boleh melibatkan diri dalam program-program sebegini. Ini adalah kerana program ini boleh merapatkan lagi hubungan kekeluargaan yang sedia terjalin selama ini. Tahniah BKGK...