semesta

bling2

Rabu, Disember 09, 2009

CUTI SEKOLAH DAH MULA


Cuti datang lagi.. hari yang memang dinanti oleh semua warga sekolah..terutama pelajar-pelajar dan cikgu-cikgu. kali ini panjang cutinya..bermula dari 21 November hingga 4 Januari tahun depan. Ibu bapa nampaknya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal menghadapi anak-anak di rumah. wajarlah kita merancang aktiviti untuk anak-anak ini agar masa dapat diurus dengan perkara yang berfaedah. Kepada yang akan menghadapi peperiksaan, harap dapat bersabar, bertenang dalam melalui hari-hari yang penuh getir.Mudah-mudahan anda diberi kekuatan minda , jiwa dan sihat tubuh badan untuk menghadapi musim peperiksaan ini. Kepada guru-guru yang bertugas menjadi pengawas sepanjang cuti atau terpaksa ke sekolah untuk menyiapkan tugasan, tahniah diucapkan...bukan senang nak berkorban masa senggang ini...hanya Allah yang akan membalas budi baik guru-guru yang berjiwa rakyat ini...Em tak lupa untuk bakal-bakal pengantin yang akan menjadi raja sehari... Selamat pengantin baru untuk cikgu Rosnizar Jamros, Cikgu Norlyana, Cikgu Rasyid Iqbal dan Cikgu Redzuan. Muga rumah tangga yang dibina akan dilimpahi rahmat dan berbahagia hendaknya ke akhir hayat. Bagi yang ingin pulang ke kampung atau bercuti bersama keluarga...hati-hati dijalanan...semuga percutian anda meninggalkan kenangan manis dan boleh dijadikan pemangkin kepada kita untuk berkhidmat dengan penuh semangat ditahun 2010...

BENGKEL FINAS






Selamat bercuti tapi nak cerita sedikit pasal bengkel FINAS yang disertai pada 13, 14 dan 15 November baru baru ini. SMKSA telah menghantar 6 rang peserta iaitu :-
Nor Aisyah bt Abd Hamid - 4 UPM
Muhamad Azhar bin Abu Hassan - 4 UM
Muhamad Muz Taufiq bin Muzathal- 4 UPM
Muhamad Syafiq Nasrul b Mohadlid - 4UKM
Nik Nur Janna Bt Nik Lah- 4 UKM
Siti Zulaikha Bt Razali- 4 UM
Peserta-peserta telah diberi pendedahan tentang asas teknik lakonan dan pengarahan. Fasilitatornya terdiri dari pelajar dari sekolah Media kolej Yayasan Melaka. Manakala ceramah tentang lakonan telah diberi oleh pelakon PEKIN dan HASNOL.Mudah-mudahan lepas ni..boleh buat bengkel lakonan kat sekolah

Selasa, November 17, 2009

MAJLIS GRADUASI PELAJAR TINGKATAN 5

Satu majlis Graduasi Pelajar Tingkatan 5 telah diadakan buat julung kalinya di SMK Sultan Alauddin pada 16 November 2009 jam 11.00 pagi. Tuan Pegawai Pelajaran Daerah Kulaijaya telah dijemput untuk merasmikan acara yang berlangsung secara sederhana tetapi meriah. Seramai 143 orang pelajar tingkatan 5 telah diraikan dalam majlis tersebut. Ini merupakan suatu penghargaan sekolah kepada pelajar tingkatan 5 dan yang paling menarik pelajar-pelajar diberi peluang memakai jubah ketika menerima sijil. Pelajar-pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan Percubaan SPM turut menerima hadiah berbentuk piala. Siti Nadiah bt Zainudin telah dinobatkan sebagai pelajar terbaik diatas kecemerlangannya dalam peperiksaan tersebut.Besarlah harapan sekolah agar ini merupakan titik tolak kepada kejayaan mereka seterusnya di masa akan datang. Semuga majlis seumpama ini dapat menyuntik semangat kepada semua pelajar SPM yang akan menduduki peperiksaan tidak berapa lama lagi Yang penting acara ini bukan menjadi majlis graduasi yang terakhir buat mereka. Acara diakhiri dengan Jamuan Makan tengahari yang dihadiri oleh guru-guru dan juga pelajar yang diraikan.


Jumaat, November 13, 2009

KEM KELAB PECINTA FILEM ANJURAN FINAS


Pada 13,14 dan 15 November, SMK. Sultan Alauddin telah menghantar seramai 6 orang pelajar tingkatan 4 untuk menyertai program yang dianjurkan oleh FINAS. Dalam kem tersebut, pelajar-pelajar akan didedahkan dengan penulisan skrip, pengarahan dan lakonan oleh tenaga pengajar yang berpengalaman dalam bidang teater, drama dan filem. Harapan cikgu Bedah, lepas ini pengalaman yang ditimba dapat dibawa pulang untuk dikembangkan di dalam persatuan Kelab FINAS dan seni budaya sekolah..jangan sekadar glamor jumpa artis sahaja.

Selasa, November 10, 2009

HARI ANUGERAH KO KURIKULUM

Majlis Anugerah Kokurikulum- JASAAMU DI KENANG akan diadakan pada 11 November 2009 jam 11.00 pagi di SMK. Sultan Alauddin. Objektif utama majlis ini adalah untuk mengenang jasa-jasa pelajar dan guru dalam menyumbang kejayaan dan kecemerlangan dalam pelbagai pertandingan atau aktiviti Ko Kurikulum sepanjang tahun 2009. Semua kejayaan dalam aktiviti badan beruniform, kelab dan persatuan serta sukan dan permainan di peringkat sekolah, daerah dan negeri akan diberi pengiktirafan dalam bentuk sijil dan plak. Kepada yang berjaya tahniah diucapkan dan kepada yang tidak berjaya , jangan putus asa...terus berusaha untuk menyumbang bakti dan meningkatkan prestasi demi kecemerlangan sekolah. Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus membuat persiapan untuk merealisasikan majlis ini.

Jumaat, November 06, 2009

KISAH SEMBELIH AYAM....


ini adalah posing dari ayam-ayam yang bakal disembelih....cantik2 rupanya ayam ni....







Hari ini program Pasca PMR diteruskan lagi...aktiviti hari ini diuruskan oleh Panitia Pendidikan Islam..ha kali ini pelajar-pelajar diajar teknik sembilih ayam yang betul ikut syariat. Benda ni nampak mudah... tapi kenyataannya ramai yang tak berani. Kat sekolah kalau tengok muka dan perangai , paling "WANTED" dan "BRUTEL"...Tengok lagak dan gaya macam kaki pukul, tapi bila suruh sembelih ayam.... takut......tak berani.... gigil tengok darah....Ha itulah generasi kita...Bagus juga aktiviti fardu kifayah seperti ini. Sekurang-kurangnya ada pelapis -pelapis yang berani sembelih ayam dengan cara yang betul. Taklah was-was kita nanti bila nak makan ayam ada lagi orang islam yang menyembelih ayam ikut sharak. Sebanyak 20 ekor ayam yang berjaya disembelih oleh mereka. Yang membanggakan ada wakil dari pelajar perempuan yang turut mengambil peluang menyembelih ayam. Paling seronok lepas sembelih ayam ,cikgu-cikgu berpeluang menikmati hidangaJajarkan ke Kanann ayam goreng... Walaupun tak macam ayam KFC...tapi kita semua dapat rasa hingga menjilat jari. Tahniah kepada panitia Pendidikan Islam yang berjaya menganjurkan kursus ini.

Selasa, November 03, 2009

HARI KELUARGA SMKSA 2009 ANJURAN BKGK







Gambar2 sepanjang hari keluarga di ENDAU BEACH RESORT.


Pada 31 Oktober dan 1 November 2009, Badan Kebajikan Guru & Kakitangan SSA telah mengadakan sambutan Hari Keluarga di Endau Beach Resort, Mersing. Seramai 75 peserta yang merupakan ahli keluarga warga SSA turut serta . Pelbagai aktiviti telah di atur seperti acara sukanneka kanak-kanak, keluarga dan dewasa, senaman poco-poco, pertandingan memancing dan juga acara yang paling dinantikan adalah jamuan makan malam beserta cabutan nombor bertuah. hadiah untuk kanak-kanak bertuah dan kereta bertuah turut diadakan. Selain daripada itu kanak-kanak merupakan golongan yang paling seronok kerana dapat mandi kolam renang puas-puas katanya. Golongan dewasa tidak ketinggalan jua turut terjun ke dalam kolam yang disediakan...Apapun saya percaya ia meninggalkan kenangan manis buat kita semua untuk tahun 2009. Acara hari keluarga ini dapat mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga yang lain dengan warga SSA. Muga di tahun hadapan , kita akan berkesempatan menganjur sambutan hari keluarga yang dapat melibatkan semua ahli BKGK...Amin

Selasa, Oktober 27, 2009

STRESS…..SSzz…..


APABILA CIKGU BEDAH BERCERITA TENTANG

STRESS…..SSzz…..

Assalamualaikum w.b.h. Kali ini cikgu Bedah nak cerita
sedikit tentang STRESS… Dalam kehidupan harian
yang semakin mencabar ini, kita sering mengggunakan
perkataan STRESS sebagai perkataan popular. Kanak-kanak tadika pun dah pandai guna perkataan STRESS. Kalau dalam bahasa Melayu STRESS membawa maksud tertekan, menekan… tetapi dalam konteks yang dibincangkan ia membawa maksud menghadapi tekanan samada kerja, peperiksaan mahupun apa jua masalah yang mendatang. Bila stress macam-macam benda yang kita lakukan . Ada yang senyap..berkerut muka, marah-marah….ada juga yang menzahirkannya dengan makan berlebihan, buat perkara yang pelik-pelik dan sebagainya. Walaupun apa cara kita gunakan untuk menghilangkan stress ini, pastikan perkara yang dilakukan tidak memudaratkan kita, Nak tahu tak apa yang cikgu lakukan bila stress? Nampak macam skima., macam poyo…. Kita mengaji….ha..damai.. sikit hati….Lepas itu kita ajak kawan-kawan untuk pergi shoping…window shoping pun tidak mengapa….untuk “refreshing our mind” atau istilah lainnya Terapi Minda. Lepas itu, makan-makan sikit… ha..balik rumah lega…Esok pergi mengajar dengan mood yang baru.. Itu style cikgu Bedahlah…tetapi bagi anak-anak murid yang kukasihi sekelian…jangan pilih cara yang salah untuk hilangkan stress…ambil dadah, tengok cerita biru….atau pergi merempit kerana semua itu memudharatkan diri anda. Kita yang mengawal diri kita . Cikgu faham sekarang ini pelajar-pelajar tingkatan 5 khasnya memang STRESS…Kalau benarlah, itu adalah stress yang sihat dan normal bagi mereka yang sedar dan tahu yang mereka bakal menghadapi peperiksaan penting. Malangnya jika hari periksa yang semakin hampir , golongan ini selamba aje… tetap bergembira macam tiada apa yang berlaku…Mereka ini memang tak kisah tentang peperiksaan, bila tarikh, apa matapelajarannya pun mereka tak tahu…siap tak datang sekolah lagi… Cikgu Bedah memang kasihan kepada ibu bapo golongan pelajar- pelajar yang nak kata pandai tak pandai juga….apalah jadi masa depan mereka ini..hanya Allah sahajalah yang beri petunjuk. Jangan sampai bila dah jadi kemurkaan Allah ditimpakan musibah macam rakyat di Padang, Indonesia. Nauzzubillah…. Jadilah kita hambaNya yang sentiasa bersyukur walau apa jua ujian yang diberi..Kembali memohon kekuatan dari NYA terutama dalam menangani STRESS…Satu lagi cikgu Bedah nak syorkan mereka yang tak tahu nak hilangkan stress….bawalah parang dan cangkul carilah mana-mana rumah guru anda yang semak samun ,pergilah buat pahala dengan membantu menebas kawasan keliling rumah mereka. Yang pasti anda akan dihidangkan segelas air oren atau sirap. Kalau guru itu pemurah mungkin akan diberi duit jajan sebagai penghargaan untuk anda. Cikgupun makin sayang pada pelajar-pelajar yang ringan tulang ini…. Apapun…cikgu doakan agar anda boleh menangani STRESS dengan bijak.Sebagai penutup terimalah sejambak puisi yang mengisahkan tentang keluh kesah orang yang STRESS

KALA AKU “STRESS”

Benarkan aku bicara tentang kebingungan ini
Tatkala ada ruang hati yang bergoncang
Pedih menggetar kalbu
Yang sarat menanggung kesakitan ini
Terbelit dan kusut di minda
Mencari damai
Aku memang stress !!
Kala badai ini melanda
Dalam kegelapan malam
Mencari jalan pulang
Tuhan…
Kupilih jalanMu..
Hentikan gusar ini
Agar stressku terarah dengan
Rahmat dan InnayahMu
Agar damai tercipta
Di hati
Di minda
Agar bisa aku kembali
Meneruskan perjalanan malam ini
Tanpa ragu lagi
Kerana aku percaya
Dalam stress yang ini atau yang itu
Aku masih berpaut
Dalam dakapan kasihMu
TUHAN
Anjasmara09

HARI KELUARGA PUSAT SUMBER














Pada 23 dan 24 oktober yang lalu, Pusat sumber SMK Sultan Alauddin telah mengadakan sambutan hari keluarga di Hotel Sri Malaysia , Mersing. Seramai 45 orang termasuk guru pengiring turut serta dalam aktiviti yang telah dirancang hampir setahun. Tujuan acara ini diadakan adalah untuk meraikan pelajar-pelajar tingkatan 5 disamping mengeratkan silaturahim antara pengawas Pusat Sumber. Perjalanan ke Mersing memakan masa hampir 2 jam dan bas tiba pada jam 5.30 petang. Acara utamanya adalah Majlis makan malam dan diserikan dengan upacara penyampaian sijil penghargaan dan hadiah. Acara kemuncak adalah cabutan bertuah dan pengumuman Mr dan Miss STYLO 2009 yang telah dimenangi oleh Mohd Nasriq b Maslan dari 5 UM dan Siti Fatimah Salleh dari 5 UPM. Pada keesokkannya pula aktiviti sukaneka telah diadakan di pantai Mersing. Antara perrtandingannya ialah Cari gula dalam tepung, Mumia, Yang paling panjang dan jaga belon. Keseluruhan majlis Hari Keluarga PSS berlangsung dengan meriah dan paling seronok tentulah acara mandi kolam...berejam berendam...melepas geram. Sampai jumpa lagi tahun hadapan...Semuga insentif begini dapat meningkatkan usaha untuk beri perkhidmatan yang terbaik dalam pengurusan Pusat Sumber, insyaallah

LAGI PROGRAM PASCA PMR







Kita masih lagi meneruskan program Pasca PMR. Antara acara yang telah dijalankan sepanjang minggu ini adalah permainan Layang-layang, Permainan tradisional seperti congkak, galah panjang, bermain petanque. Nampaknya rancangan selepas PMR dirancang lebih baik berbanding tahun lepas. taklah mereka ini menganggur saja sampai tak tahu nak buat apa. Minggu ini lagi hebat. Ada pertandingan karaoke, melukis dan paling "happening' pertandingan Boling yang akan diadakan esok 28 oktober di IOI Mall... Kita jumpa di sana

Khamis, Oktober 15, 2009

PROGRAM PASCA PMR DAN POTLUCK DEPARAYA


Hai semua. Assalamualaikum. Periksa PMR dah pun berlalu. Kini kita tengok giliran abang dan kakak senior perah otak untuk persediaan SPM. Kelas-kelas tingkatan 1,2 dan 4 lagak macam dah habis periksa hujung tahun padahal peperiksan akhir tahun untuk tingkatan 4 akan bermula pada 21 oktober ini. Menengah rendah pula akan bermula pada 27 oktober 2009. Pada pelajar tingkatan 3, pihak sekolah telah mengatur pelbagai program pasca PMR. Yang paling terkini adalah sambutan Hari Raya Aidil Fitri untuk tingkatan 3 pada hari Jumaat bersamaan dengan 11 oktober 2009. Ada berbagai pertandingan , kursus dan lawatan yang akan diadakan. Hari ini pun ada sebahagian pelajar tingkatan 3 yang terlibat dengan kursus Keselamatan Jalan Raya di Kulai. Kalau tidak silap saya, ada pertandingan permainan dalam (indoors games) , Permainan Tradisional, Kursus ICT dan juga lawatan.

Esok pulak pihak BKGK akan mengadakan majlis POTLUCK DEPARAYA. Semua ahli BKGK dijemput hadir...inilah kelainan dan keistimewaan SSA...sentiasa berusaha merapatkan hubungan silaturahim dengan ahli BKGK melalui program-program sebegini. Jangan lupa bawa "belen" kuih raya untuk potluck nanti.

Selasa, Oktober 13, 2009

MERDEKA...... MERDEKA.....PMR

Assalamualaikum W.B.H. Tahniah kepada pelajar PMR yang telah selamat menduduki peperiksaan itu hari ini. Matapelajaran terakhir hari ini adalah Bahasa Arab untuk pelajar UIA. Namun sebelum itu subjek Kemahiran Hidup adalah matapelajaran yang terakhir untuk kelas-kelas lain. Gembira sungguh mereka setelah bertungkus lumus (ye... ke?) mengulangkaji pelajaran, akhirnya berjaya melalui detik mendebarkan itu (em..bagi sesetengah pelajar sahaja). Walaupun peperiksaan telah berakhir , namun pesanan demi pesanan telah diberi kepada mereka terutama dalam melalui fasa pasca PMR. Beberapa program telah diatur untuk semua pelajar agar turut serta dalam program tersebut. Kepada calon-calon SPM pula.. jangan buang masa , semakin suntuk rasanya menjelang 40 hari SPM. Ada peluang lagi bagi membaiki mana-mana keputusan yang kurang baik...Pepatah mengatakan ..susah-susah dahulu senang-senang kemudian....mudah-mudahan keputusan anda nanti lebih baik...Kali ini ada sedikit selingan video untuk motivasikan diri kita semua... semuga terhibur

Jumaat, Oktober 09, 2009

PEMERGIAN YANG DIRATAPI

SMKSA kehilangan lagi seorang pelajarnya yang telah pulang ke Rahmatullah pada jam 9.00 malam 8 oktober 2009. yang sedihnya pelajar ini merupakan calon PMR yang sedang menduduki peperiksaan. Beliau adalah adik Syazwan bin Satiman dari kelas 3 USM. Berita ini sungguh menyedihkan kerana bulan ini sahaja kita kehilangan 2 pelajar sekali. Allahyarham meninggal akibat kemalangan motosikal. Dari sumber yang dipecayaai motosikalnya bertembung dengan sebuah motosikal lain yang mengakibatkan beliau terbabas ke longkang dan meninggal ditempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala. Kita mendoakan agar Allahyarham dicucuri rahmat dan bersemadi dengan tenang. Al Fatihah......
Kepada yang lain, yang masih diberi peluang untuk bernafas di muka bumi ini, bersyukurlah dan tingkatkan amalan dan usaha untuk menjadi insan yang lebih baik dari hari semalam..amin

Rabu, Oktober 07, 2009

PMR 2009




Hari ini adalah hari pertama PMR. Seramai 196 orang pelajar menduduki peperiksaan pada tahun ini. Awal pagi lagi pelajar telah berkumpul di kantin sekolah dan sarapan pagi ada disediakan. Pelajar-pelajar juga telah diperiksa suhu badan pada awal pagi oleh guru bertugas untuk saringan deman H1N1. Selepas itu pelajar diberi sedikit motivasi untuk menambah keyakinan diri mereka dan bacaan doa disampaikan. Pelajar bergerak masuk ke dewan peperiksaan pada jam 7.45 pagi. Sebahagian kecil ibubapa turut hadir memberi sokongan kepada anak-anak mereka. Tahniah kepada yang hadir. Sama-samalah kita memanjatkan doa restu agar SMKSA beroleh keputusan yang cemerlang, insyallah...

Selasa, Oktober 06, 2009

SOLAT HAJAT PERDANA


Salam buat blogers semua. Kali ini cikgu Bedah nak melaporkan tentang program SOLAT HAJAT PERDANA untuk pelajar tingkatan 3 & 5 yang telah diadakan pada 1 Oktober 2009 di Masjid Jamek Bukit Besar. Majlis ini dianjurkan bersama oleh Unit Kaunseling bersama Pengurusan STF Felda Bukit Besar, Ramun, Pasir Raja dan Sungai Sayong. Ibu bapa dan penjaga turut hadir pada majlis tersebut. Acara bermula pada jam 5.00 petang dengan pendaftaran peserta dan diteruskan dengan program Motivasi oleh Al Falah Management. Pada sebelah malamnya pula diadakan Solat maghrib berjemaah, Solat Hajat, Bacaan Yassin dan Solat Isya berjemaah. Acara diteruskan Majlis Pertautan antara Ibubapa pelajar yang menyentuh hati semua peserta. Restu ibu bapa, Guru dipohon agar calon-calon SPM PMR 2009 boleh menduduki peperiksaan dengan hati yang lapang dan tenang. Majlis diserikan lagi dengan ucapan dari Tuang Pengetua, Tn. Hj . Jumali b Ahmad dan Ucapan dari Pengurus Besar Felda Wilayah Johor Bahru, Tn. Hj. Sheikh Abdul hadi b Sheikh Omar. Bahagian terakhir majlis adalah acara penyampaian cenderamata dan majlis bersurai pada jam 11.00 malam

Khamis, Oktober 01, 2009

KEHILANGAN YANG TERKESAN



Bertemu lagi kita di arena siber ini. Kali ini ada berita sedih yang melanda SMKSA sama seperti kesedihan yang melanda saudara kita di tanah seberang , Padang Indonesia, akibat gempa bumi serta Tsunami yang melanda Samoa. Pertamanya adalah berita kepulangan pelajar kita ke Rahmatullah iaitu adik Fatin Syahirah bt Tukimin dari kelas 2 UPM yang meninggal akibat sakit jantung berlubang. Al Fatihah... semuga rohnya diletakkan ditempat orang-orang yang beriman..amin

Berita kedua ialah berita tentang seorang guru SMKSA iaitu Cik Noratikah bt Jumiran telah menamatkan perkhidmatan sebagai GSTT kerana telah menerima tawaran sebagai pegawai perangkaan di Putrajaya. Cik Atikah merupakan seorang guru dan sahabat yang disenangi dan aktif. Kita amat terasa kehilangan suara ceria beliau setiap pagi dan kami di SSA mengucapkan selamat maju jaya dalam bidang yang diceburi nanti.. Adios......

Isnin, September 28, 2009

SELAMAT BERTUGAS DAN KEMBALI KE SEKOLAH


Assalamualaikum w.b.h. Ketemu sekali lagi kita di alam siber, paling penting semua sudah kembali bertugas dan kepada pelajar kembali ke sekolah dengan semangat yang lebih berkobar-kobar..insyaallah. Walaupun masih dalam mood raya, kita masih boleh meningkatkan prestasi kerja apatah lagi saat yang semakin genting untuk pelajar-pelajar yang akan menduduki PMR dan SPM. Pada pelajar PMR, masa tinggal kurang seminggu lagi untuk menduduki peperiksaan sebenar. Inilah peperiksaan PMR yang pertama dan terakhir yang akan kamu ambil kerana tiada PMR kali kedua dalam hidup..tak boleh di ulang..ni yang selalu saya pesan dengan pelajar-pelajar. Tetapi pelajar kita saja..aje..macam tak ada exam feel langsung..Kenapa ya...Inilah perkara yang bersarang dalam kepala cikgu-cikgu yang mengajar kelas pepriksaan. walau bagaimanapun kita berserah sahajalah agar keputusan peperiksaan nanti lebih baik dari tahun-tahun lepas. adalah yang dapat 'Perfect Score'. Bertahun juga SSA rindukan kejayaan yang manis begitu, harap-harap tahun ini adalah..insyaallah.

Isnin, September 21, 2009

YEH...DAH RAYA DAH...

Assalamualaikum w.b.h. Alhamdulillah..akhirnya kita berjaya menyelesaikan ibadah puasa dan menyambut kemenangannya dengan kedatangan Aidil Fitri.Ramai warga SMKSA yang pulang berhariraya di kampung masing-masing...Sunyilah kita seminggu tanpa kisah-kisah terbaru. Namun kesempatan bercuti dapat juga saya gunakan untuk blogers melayari laman ini, kita cerita-cerita tentang pengalaman berhari raya. Pada saya hari raya cukup istimewa kerana kita berkesempatan berkumpul bersama keluarga, mengunjungi saudara mara, rakan dan taulan. Bertanya khabar, bermaaf-maafan dan mengukuhkan ikatan persaudaaraan,muhibah dan perpaduaan. Pendek kata yang baik-baik dan manis-manis.. namun dicelah-celah kegembiraan kita , ada juga yang berduka malah kenangan raya boleh mengguris perasaan. Walau apapun kenangannya.. kita sentiasa berharap agar raya tahun ini mencatat sesuatu yang bermakna dan manis. Semuga bahagia menanti kita... insyaallah. Salam kemaafan...Salam Aidil Fitri dari saya.

Rabu, September 16, 2009


Assalamualaikum blogers SSA yang setia. Lama tak update berita-berita di SSA. Beberapa hari kebelakangan ini agak sibuk dengan kelas dan juga persiapan hari raya. Suasana di SSA memang meriah terutama waktu rehat..kuih-kuih raya, krepek-krepek, jeruk dan bermacam jenis kek sudah sedia di bawa pulang. Kad-kad raya juga sibuk diedarkan di sana sini. Perantau -perantau yang akan pulang berhari raya sudah tidak sabar lagi untuk balik kampung masing-masing. Bagi yang pulang menaiki bas, pastikan tiket telah dibeli, atau kepada yang memandu untuk pulang ke kampung.. hati-hati di jalan raya. Ingatlah yang tersayang yang sedang menunggu kepulangan anda semua. Kesempatan ini juga cikgu Bedah ingin memohon ampun dan maaf di atas salah silap saya sepanjang menerbitkan bolg ini.. Mana tahu ada kata-kata yang mengguris rasa...ada hati-hati yang terluka...maaf ajelah ya...Seperkara lagi untuk anak-anak murid tersayang... raya-raya juga, pelajaran jangan dilupa terutama yang akan menduduki periksaan SPM dan PMR khasnya. Jangan main mercun takut hilang jari jemari... dah tak boleh nak salam duit raya.. Selamat Bercuti Dan menyambut Lebaran. Cikgu Bedah akhiri tulisan kali ini dengan pantun-pantun raya:-

Make ikke cicoh budu
Jange lupo tamboh satar
Kelik rayo taksir laju
Nanti rayo dale sepita

Gulai tempoyak ikan mayong
Deroyan busok tebok tupai
Pandu hemat ingat kampong
Asal teman selamat sampai

Aloq Staq terketaq-ketaq
Lapaq perut makan pau
Macam mana tak ketaq
Kena paksa bagi angpau

MAJLIS BERBUKA PUASA SSA




Suatu majlis berbuka puasa anjuran BKGK dan Panitia Pendidikan Islam telah diadakan pada 10 september 2009. Majlis ini telah dihadiri oleh hampir 300 jemputan yang terdiri daripada guru-guru, kakitangan dan pelajar-pelajar miskin dan anak yatim. Acara dimulakan dengan bacaan tahlil dan tazkirah pada jam 6.00 petang .Juadah istimewa berbuka puasa pada hari itu ialah Nasi Beryani ,Ayam masak merah, kurma daging dan acar darat. Kuih koci ,kurma dan karipap merupakan hidangan awal sebelum solat maghrib. Sembahyang magrib berjemaah disertai oleh semua jemputan dan selepas solat jamuan makan malam diadakan. Selepas makan malam para jemputan menunaikan solat Isya dan Sembahyang Terawih. Majlis berakhir pada jam 10.00 malam.

Rabu, September 09, 2009

AUDIT AKADEMIK PERCUBAAN PMR 2009


Suatu mesyuarat Audit Akademik Percubaan PMR akan diadakan pada hari ini 9 September 2009 bertempat di bilik gerakan pada jam 2.30 petang . Semua guru diwajibkan hadir. Semasa mesyuarat nanti Ketua Panitia akan membentangkan headcount masing-masing dan menerangkan tentang analisis SWAT matapelajaran masing-masing beserta perancangan 28 hari sebelum PMR. Nampaknya guru-guru tingkatan 3 ternyata sterss dengan keputusan yang diperolehi kurang memberansangkan. Bagaimanapun kita masih punya waktu untuk tingkatkan usaha dan jangan sesekali berputus asa untuk terus mendidik dan memastikan kejayaan anak-anak didik kita.

Selasa, September 08, 2009

PERSEDIAAN MENJELANG SYAWAL DI SSA



Kali ini kita nak bercerita tentang persediaan menjelang Syawal di SSA. Sebelum Ramadhan lagi cikgu-cikgu SSA dah sibuk dengan perbagai promosi kuih raya. maklumlah kena rasa dulu sebelum beli...Maka si ejen kuih raya ini akan memberi peluang kami merasa. Ada jenis krepek-krepek, biskut-biskut, kek-kek dan jeruk pun ada. Pendek kata apa saja jenis juadah boleh didapatkan di SSA. Itu belum lagi bahagian tempahan baju-baju raya, tudung raya, kasut, bekas kuih, tuperware semua ada. Macam-macam ada di SSA . Sekali tengok macam emporium pulak. tapi itulah kemeriahan dan uniknya SSA. 10 September 2009 akan diadakan majlis berbuka puasa dan solat terawih dengan anak-anak yatim dan pelajar miskin. Majlis anjuran BKGK dan Panitia P.Islam ini diharapkan dapat menguatkan hubungan silaturahim antara warga SSA. Minggu terakhir pula.. ada diadakan ucapan Selamat Hari Raya dan permintaan lagu-lagu raya. Bertambah meriahlah lagi bila lagu-lagu raya mula berkumandang nanti. Hai ... Syoknya raya..

Sabtu, September 05, 2009

KISAH H1N1


Kali ini saya nak bercerita tentang wabak yang melanda seluruh dunia dan telah mengakibatkan banyak kematian. Di Malaysia sahaja sehingga kini , hampir 73 kematian telah dilaporkan. Oleh itu besarlah harapan kita agar mengambil langkah berjaga-jaga dengan menjaga kebersihan diri dan membuat pemeriksaan doktor jika berlaku tanda-tanda seperti deman, batuk, selsema, sakit-sakit badan dan pening. Di sekolah baru baru ini telah dibekalkan dengan alat menyukat suhu dan sabun cucii tangan sebagai langkah keselamatan. Nampaknya cikgu-cikgu bertugas kena menjadi jururawat dan drebar untuk memeriksa dan menghantar balik pelajar-pelajar yang sakit. Lakukanlah tugasan dengan ikhlas insyaallah besar ganjaran Nya...lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan. Kepada pelajar yang ada tanda-tanda deman dari rumah...bolehlah kuarantin di rumah sahaja.Tapi jangan lupa mesti ada kenyataan dari ibu bapa. Jangan "Menagguk di air keruh" sudahlah...